Halaman

Wednesday, February 2, 2011

Mahathir mahu bukan Melayu terima hakikat Malaysia ’Tanah Melayu’

KUALA LUMPUR, 1 Feb — Tun Dr Mahathir Mohamad berkata rakyat Malaysia mesti mengakui bahawa negara ini adalah milik orang Melayu dan oleh itu, mereka mesti menerima budaya dan bahasa masyarakat itu.
Bekas perdana menteri berkata nenek moyang negara ini memberikan orang Cina dan India taraf kewarganegaraan sebab mereka mengharapkan kedua-dua komuniti itu akan menghormati kedaulatan orang Melayu.

Malah Dr Mahathir juga menekankan,bukan Melayu mesti menerima konsep Bangsa Malaysia untuk membantu memperkukuhkan perpaduan nasional.
Beliau yang menyandang jawatan perdana menteri selama 22 tahun berkata, masyarakat Cina dan India mesti mengutamakan kepentingan negara berbanding soal kaum dan identiti mereka sebagai rakyat Malaysia.
Sehubungan itu beliau yang juga bekas presiden Umno menambah, jika orang Cina dan India terus melihat diri mereka berdasarkan  negara asal mereka, maka ia bermakna mereka adalah imigiran ke negara ini.
Dr Mahathir berkata, kesemua kaum mesti menerima bahawa mereka Bangsa Malaysia — elemen yang penting untuk membolehkan kerjasama yang lebih baik daripada mereka yang berlainan kaum dan menjamin masa depan negara ini.
Beliau juga menambah, orang Melayu akan merasakan kurang terancam jika semua di negara ini menerima konsep Bangsa Malaysia.
“(Bekas presiden Filipina Corazon) Cory Aquino adalah Cina tetapi beliau menganggap dirinya rakyat Filipina. (Bekas perdana menteri Thailand), Thaksin Shinawatra adalah Cina tetapi beliau bercakap dalam bahasa Thai dan hidup dalam budaya masyarakat Thai.
“Tetapi keadaan berbeza di Malaysia. Kita masih memperkenalkan diri kita mengikut kaum. Itu sebabnya persoalan mengenai kaum terus menghantui kita,” kata beliau pada majlis wacana “Kaum Melayu dan Masa Depan” di Memorial Tun Hussein Onn Memorial di sini.
Kata beliau, program-program afirmatif kaum seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) masih lagi penting memandangkan orang Melayu masih lemah dari segi ekonomi.
Kata beliau, orang Melayu kemungkinan berhadapan dengan risiko kehilangan negara ini tanpa dasar-dasar tindakan afirmatif.
“Apabila kita lemah bermakna kita akan kehilangan kuasa, meskipun kita ada perdana menteri (kalangan orang Melayu) tetapi kita tidak ada lagi sebarang kuasa, sebab kita bergantung pada yang lain,” katanya.
Sebelum ini Dr Mahathir dikritik kerana pernah memperlekeh pihak yang mengetengahkan idea mengenai meritokrasi, dengan mendakwa mereka sebagai rasis dan mengecam orang Melayu yang menyokong pandangan sedemikian atas alasan mereka tidak bangga sebagai orang Melayu.

Dalam ceramahnya hari ini, Dr Mahathir berkata gagasan 1 Malaysia dan Wawasan 2020 berbeza kerana beliau mahu mewujudkan satu identiti nasional yang bersifat inklusif.
“Apabila kita cakap mengenai 1 Malaysia, orang ramai bercakap mengenai kesaksamaan bagi semua kaum. Bagi Melayu ia bermakna menghapuskan sekolah-sekolah vernakular.
“Bagi orang CIna dan India pula, 1 Malaysia bermakna menghapuskan hak orang Melayu,” kata beliau.
Oleh itu kata beliau pentadbiran semasa mesti jelas dengan gagasan 1 Malaysia.
Wacana itu dianjurkan oleh Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Wilayah Persekutuan. Turut hadir Yang Dipertua Mubarak Wilayah Persekutuan Abdul Aziz Yassin, Setiausaha Mubarak Wilayah Persekutuan Datuk Abdul Rahman Sulaiman dan Duta Besar Malaysia ke Filipina Datuk Seri Dr Ibrahim Saad yang bertindak sebagai moderator wacana.
Dr Mahathir juga mengulangi bahawa masa depan bangsa Melayu akan terus lemah dan malap sekiranya kaum Melayu terus berpecah hanya semata-mata fahaman politik yang berbeza.
Beliau berkata bangsa Melayu kini dilihat berada dalam kedudukan yang lemah kerana sudah berpecah kepada tiga kumpulan politik iaitu Umno, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyebabkan agenda untuk memajukan masa depan mereka sukar dilaksanakan, walaupun kerajaan kini di bawah kepimpinan orang Melayu.
“Kita lihat sekarang Melayu lemah kerana sudah berpecah kepada tiga dan kerajaan yang dipimpin orang Melayu juga menjadi lemah dan tidak dapat bertegas dalam menyusun langkah dalam majukan masa depan kita.
“Ini keadaan sekarang dan tidak dapat tidak ia akan mempengaruhi masa depan kita,” katanya.
Dr Mahathir berkata kali pertama perpaduan Melayu di negara ini teruji ialah apabila berlakunya perpecahan yang menyaksikan wujudnya PAS, sebagai parti serpihan Umno.
“Tetapi kita masih mampu menguasai keadaan politik di dalam negara, tetapi sepertimana yang kita tahu, kemudiannya ramai daripada orang-orang yang kecewa (daripada Umno) telah menubuhkan parti dan kita lihat serpihan-serpihan lain berlaku seperti Semangat 46 dan PKR,” katanya.
“Masa kita miskin, lemah, tidak ada kedudukan, kita tahu hanya perpaduan yang akan memberi kita kekuatan. Tetapi hari ini, bila kita kaya sikit, ada yang perpendapat perpaduan tidak perlu lagi, kita lawan sesama kita,” katanya.
Katanya ada juga orang Melayu yang sudah terlalu yakin mempunyai keupayaan untuk berdiri sendiri sehingga menolak sebarang usaha kerajaan termasuk menerusi DEB yang diwujudkan untuk membantu mereka.
“Kita begitu sekali menganggap diri kita berkeupayaan, ada yang kata apa perlu 'identify' diri kita dengan Melayu, kita orang Malaysia, boleh tolak usaha untuk bantu kita. Kita hendak buang 'tongkat', hendak jalan atas kaki sendiri, tetapi kita tidak sedar kaki masih tempang,” katanya.

Sumber: The Malaysia Insider

No comments:

Post a Comment

Catatan Popular

Listen To Quran

Listen to Quran

Srikandi 7

Confuse

Confuse

Abang dengan Pakcik duduk sini sampai PRK Merlimau tamat ye bang, ye pakcik!!! Eh! akak pun ade!!!